Kamis, 20 Agustus 2009

TRAGEDI demi tragedi berlaku akibat peperangan dan ada kalanya air mata berlarutan menitis. Demikian nasib Maria Hertogh, gadis Belanda yang kemudian anak angkat Aminah, seorang wanita Melayu dan diberi nama Natrah.

Kisah bermula setelah tentera Jepun mengalahkan tentera Belanda di Indonesia, dulunya dipanggil Netherlands East Indies dalam Perang Dunia Kedua, termasuk di bahagian timur Asia.

Ayahnya Maria, Sarjan Adrianus Petus Hertogh menjadi tawanan perang tentera Jepun dan ini membawa kesengsaraan kepada isterinya Adeline Hunter, seorang wanita Serani yang lahir di Pulau Jawa.

Adeline anak seorang warga Scotland, bernama Hunter, yang telah bermastautin di Jawa dan berkahwin dengan seorang gadis Serani bernama Nor Louise, ketika itu pelakon bangsawan Bolero Opera Party.

Nor Louise meninggalkan suaminya ketika Adeline berumur lima tahun dan berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia beragama Islam, Radin Ismail, juga pelakon bangsawan.

Adeline kemudian menjadi anak angkat sebuah keluarga Indonesia dan dipelihara sebagai orang Islam hingga berumur 15 tahun. Hal ini dicatat dalam sebuah buku berjudul Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh oleh Tom Eames Hughes, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura pada tahun 1950.

Ertinya, menurut Hughes lagi, Adeline dan anaknya Maria mengalami pengalaman sama pada peringkat awal hidup mereka. Keduanya menjadi anak angkat orang Islam. Adeline kemudian sukarela masuk agama Kristian manakala anaknya Maria dipaksa berbuat demikian.

Dalam perbicaraan di Singapura kemudiannya Aminah memberitahu bahawa Maria telah diserahkan menjadi anak angkatnya oleh Adeline pada tahun 1942. Pada waktu itu umur Maria belum sampai 6 tahun. Antara lain Hughes menulis:

“Maria sendiri tidak berapa ingat bila ia menjadi peliharaan Aminah. Menjelang tahun 1950 ia hampir melupai ibu bapanya. Saya tidak kenal mereka, ia memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat. Aminah adalah ibu saya... ia tidak ada anak-anak lain. Saya seorang saja anaknya, Maria menambah.”

Pada tahun 1947 Aminah meninggalkan Indonesia dan membawa Maria ke Terengganu melalui Singapura, lalu menetap di Kemaman. Hughes menulis: “Di Kemaman, Maria belajar di Sekolah Melayu Chukai selama dua tahun. Dia memakai baju Melayu tiap hari. Ia tidak tahu menggunakan pisau dan garpu bila makan. Dan ia belajar membaca al-Quran.

Pada tahun 1949 ibu bapa Maria meminta Konsulat Belanda di Singapura supaya mengambil balik Maria. Wang sebanyak RM500 ditawarkan kepada Aminah kerana memelihara Maria selama lapan tahun.

Pada tahun 1956 Aminah pindah dari Kemaman ke Singapura bersama Maria. Konsulat Belanda kemudian membuat tuntutan melalui Mahkamah Tinggi supaya Maria diserahkan balik kepada ibu bapanya di negeri Belanda.

Perbicaraan

Pada satu peringkat perbicaraan berikutnya Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan Maria dalam peliharaan Aminah. “Allah telah memakbulkan doa saya,” Dia menyatakan selanjutnya.

Keadaan bertambah kusut manakala berlangsung perkahwinan Maria dengan Mansor Adabi, yang berasal dari Kelantan. Perkahwinan dilakukan oleh Kadi Ahmad Halim. Waktu itu Maria berumur 14 tahun 5 bulan 9 hari, iaitu menurut kad pengenalan Terengganu TR156594.

Menurut satu laporan lain Maria dan Mansor Adabi hanya boleh bersatu manakala sampai umur 21 tahun.

Namun, perkahwinan itu mencetuskan pelbagai persoalan dari semua pihak. Dicatat seterusnya dalam buku Hughes: “Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dalam rencana pengarangnya mengingatkan bahawa kes Maria telah menjadi isu agama dan nasional, iaitu bukan lagi kes antara Aminah dan ibu bapa Maria saja.

“Lain-lain akhbar, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Negara di Pulau Pinang juga berhujah supaya perkahwinan pasangan tersebut tidak dipertikaikan lagi.”

Perbicaraan bersambung di hadapan Justice Brown pada 2 Disember 1950 yang memutuskan bahawa perkahwinan Maria dan Mansor Adabi tidak sah. “Maria membantah dan menegaskan bahawa ia seorang Islam. Ia tidak mahu mengikut ibu bapanya dan mahu terus bersama suaminya. Polis datang untuk mengambil Maria yang kemudian memeluk Mansor dan Aminah.

Maria dibawa ke Convent Good Shepherd di Jalan Thomson. Hanya ibunya saja dibenarkan melawatnya. Di samping itu “para pemberita akhbar dan jurugambar berulang-alik masuk untuk mewawancara dan mengambil gambar.”

Dicatat seterusnya: “Dari waktu tengah hari Sabtu 2 Disember hingga meninggalkan Singapura dan cara hidup sebagai orang Melayu untuk selama-lamanya. Ia dipisahkan dari Aminah dan Mansor Adabi pada 3 Disember, akhbar Sunday Times menyiarkan gambar Maria sedang menangis di sebelah seorang paderi wanita.

Esoknya pula, akhbar Singapore Standard menyiarkan gambar Maria senyum lebar bersama ibu dan seorang rakan. Lain-lain gambar terbit dalam akhbar Singapore Standard pada 5 Disember. Seperti dilaporkan oleh pihak lain Straits Times juga menyiarkan gambar Maria melutut kepada patung Virgin Mary. “Inilah kemuncak rasa marah orang Melayu,” demikian disebut.

Akhbar Utusan Melayu pula menyiarkan empat gambar yang menunjukkan Maria sedang menangis. Juga disiarkan laporan mengenai kehidupan Maria dalam Convent Good Shepherd.

Wawancara Utusan Melayu dengan Maria berlaku setelah tukang catat ini meminta izin dari Konsul Belanda dan ini diluluskan. Hal ini disampaikan kepada Samad Ismail, Ketua Pengarang Utusan Melayu, yang mengarahkan supaya Buang, isteri Keris Mas dan jurugambar ikut bersama tukang catat ini.

Beberapa orang pemberita Utusan kadangkala diarah menyampaikan derma beribu-ribu ringgit kepada Aminah untuk belanja perbicaraan di mahkamah dan para peguam.

Rusuhan berlaku pada 11, 12 dan 13 Disember. Sejumlah 177 orang lagi cedera, sesetengahnya parah dan hampir 200 kereta dibakar.

Pada 12 Disember Maria dan ibunya berlepas ke Holland dengan kapal terbang. Dalam cerita bersambung dilaporkan betapa setelah tiba di kampung bakal tempat tinggalnya Maria bertanya: “Di mana masjid?” Ia kemudian sembahyang lima waktu setiap hari.

Pada tahun 1955, waktu umur hampir 19 tahun, Maria bertunang dengan Johan Gerardus Wolkenfeld, 21 tahun. Selama 15 tahun perkahwinan Maria melahirkan 13 orang anak. Tiga mati semasa kecil.

Menurut laporan Maria dan suaminya sering berselisih faham dan pada satu peringkat Maria dituduh berpakat hendak membunuh suaminya, tetapi dibebaskan kerana kurang bukti. Mereka kemudian bercerai.

Selanjutnya pada bulan Disember 1979 Maria berkahwin dengan Tom Ballermans, tapi bercerai pada 1983. Pada 15 September 1984 pula Maria meninggalkan negeri Belanda ke Amerika mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel.

Nama-nama sebilangan tokoh dan pejuang nasib Maria disebut oleh Hughes. Antara mereka: Karim Ghani dari India, Dr. Burhanuddin, salah seorang pengasas dan bekas pengarah akhbar Melayu Raya di Singapura, Mohamad Taha Kalu, bekas Inspektor polis yang meletak jawatan untuk menyertai dunia politik, Syed Ali al-Atas, Darus Shariff dan M.A Majid, warga India.

Hughes penulis buku mengenai Maria kemudian melanjutkan pelajaran di University Oxford. Nama Melayu Maria yang dicatat olehnya ialah Nadrah binti Maarof.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar